Risk
Blind Spot Tidak Pernah Hilang
Apabila sesuatu penipuan atau kegagalan kewangan berlaku, kebanyakan orang akan bertanya satu soalan. Bagaimana mereka boleh terpedaya?
Soalan itu kedengaran logik. Tetapi mungkin ia bukan soalan yang betul.
Kerana dalam banyak kes, mereka yang terlibat bukan terdiri daripada individu yang kurang bijak. Mereka bukan kekurangan pendidikan. Mereka bukan kekurangan maklumat. Malah, sebahagian daripada mereka mempunyai pengalaman, pengaruh dan akses kepada maklumat yang jauh lebih baik daripada kebanyakan orang.
Lihat apa yang berlaku dalam kes Genneva. Ramai pelabur tertarik kepada naratif yang kelihatan meyakinkan. Emas fizikal. Pulangan yang konsisten. Dan bagi sesetengah pihak, keyakinan bahawa model tersebut selari dengan nilai yang mereka pegang.
Ramai yang melakukan semakan. Ramai yang bertanya. Ramai yang berbincang. Namun akhirnya, ramai juga yang kehilangan wang.
Masalahnya bukan kerana mereka tidak mempunyai maklumat. Masalahnya ialah mereka tidak melihat perkara yang paling penting.
Mereka melihat apa yang mereka mahu lihat. Dan apabila seseorang mula melihat dunia melalui harapan, keinginan atau keyakinan yang terlalu kuat, perkara yang bercanggah dengan kepercayaan tersebut mula hilang daripada pandangan.
Sejarah kewangan global menunjukkan perkara yang sama. Pada tahun 1998, sebuah dana pelaburan bernama Long-Term Capital Management (LTCM) hampir menggugat keseluruhan sistem kewangan dunia.
Pasukan di belakang dana tersebut terdiri daripada individu yang sangat dihormati dalam dunia kewangan. Termasuk pemenang Hadiah Nobel. Mereka mempunyai model matematik yang canggih. Data yang meluas. Dan pengalaman yang luar biasa.
Namun akhirnya, mereka tetap gagal. Bukan kerana mereka tidak cukup pintar. Tetapi kerana mereka mempunyai blind spot yang tidak mereka sedari.
Mungkin itulah pelajaran yang paling sukar diterima. Kepintaran bukan insurans. Pengalaman bukan insurans. Maklumat juga bukan insurans.
Blind spot tidak muncul kerana seseorang tidak mempunyai maklumat. Blind spot muncul apabila seseorang berhenti mempersoalkan apa yang sudah dipercayainya.
Kita mudah mencari bukti yang menyokong keputusan yang ingin dibuat. Namun jauh lebih sukar untuk mencari bukti yang mungkin membuktikan bahawa kita tersilap.
Sebab itulah keputusan yang paling penting jarang bergantung kepada keyakinan semata-mata. Ia memerlukan semakan. Pandangan yang berbeza. Dan keberanian untuk menerima bahawa kita mungkin tidak melihat keseluruhan gambaran.
Dalam dunia kewangan, blind spot bukan sekadar kelemahan peribadi. Ia adalah risiko strategik. Semakin besar keputusan yang dibuat, semakin mahal harga sebuah blind spot yang gagal dikesan.
Kita tidak boleh menghapuskan blind spot sepenuhnya. Tetapi kita boleh membina sistem yang membantu kita melihatnya lebih awal.
Kerana blind spot tidak pernah hilang. Ia hanya berubah bentuk.
Reflection
Apabila anda melihat kembali keputusan kewangan terbesar yang pernah dibuat dalam hidup, adakah cabaran sebenar datang daripada kekurangan maklumat? Atau daripada sesuatu yang tidak anda nampak pada ketika itu?
Jika individu yang berpengalaman, profesional yang berpendidikan dan institusi yang paling sofistikated sekalipun boleh mempunyai blind spot mereka sendiri, apakah yang membuatkan kita begitu yakin bahawa kita telah melihat keseluruhan gambaran?
— Jirum Daud, HUBKEWANGAN.COM®
